//honeypot demagogic

 Forum DhammaCitta. Forum Diskusi Buddhis Indonesia

Author Topic: Pandangan Agama Buddha Tentang Astrologi (bahasa Malaysia)  (Read 2442 times)

0 Members and 1 Guest are viewing this topic.

Offline Lily W

  • KalyanaMitta
  • *****
  • Posts: 5.119
  • Reputasi: 241
  • Gender: Female
Pandangan Agama Buddha Tentang Astrologi (bahasa Malaysia)
« on: 11 September 2009, 01:49:02 PM »
Tajuk : Pandangan Agama Buddha Tentang Astrologi
Pengarang : Bhante Dr K Sri Dhammananda

Semenjak manusia mula meneliti bumi ini serta alam sekelilingnya, dia berasa mungkin terdapat satu perhubungan di antara dirinya dengan bintang-bintang. Manusia berpendapat pengerakan bintang-bintang ini mungkin mempegaruhi hidupnya. Para cendikiawan daripada setiap bangsa dan budaya yang berbeza cuba menghuraikan tentang perhubungan fenomena ini dan maksud yang terkandung di sebaliknya.

Buku ini bertujuan menerangkan pandangan agama Buddha tentang bidang astrologi. Agama Buddha menasihati manusia supaya jangan terlalu bergantung kepada kuasa luar. Sungguhpun begitu, agama ini mengalakkan satu sikap yang rasional terhadap perhubungan yang wujud di antara manusia dan bintang-bintang.

Pandangan Agama Buddha Tentang Astrologi

Semenjak manusia wujud di dunia ini, dia amat tertarik dengan pengaruh bintang. Dia berusaha mencari perkaitan yang mungkin wujud diantara masa depannya dengan bintang. Kajian serta tafsiran tentang bintang dan pergerakannya telah menghasilkan dua bidang yang baru, iaitu astronomi dan astrologi.

Astronomi boleh dikatakan sebagai satu bidang sains tulen yang mengkaji pengukuran jarak, evolusi dan disintegrasi bintang serta pengerakannya. Sesungguhnya, semua ini ukuran yang relatif kepada bumi. Kajian cara pengerakan planet-planet tersebut mempengaruhi manusia daripada segi fizikal turut dijalankan.

Bidang astronomi moden masih berusaha mencari jawapan kepada persoalan seperti bagaimana manusia wujud, hari kiamat dan sebagainya. Bidang ini merangkumi banyak aspek-aspek yang menarik,khasnya berikutan pengetahuan baru tentang alam semesta serta cakerawala kita. Akibatnya, banyak agama terpaksa menilai semula ajaran mereka tentang pencipta alam dan bagaimanakah hidup wujud di dunia ini.

Agama Buddha tidak menghadapi masalah seperti ini kerana Buddha tidak menggalakkan pengikutnya membuat spekulasi tentang perkara yang di luar bidang pemahaman mereka. Bagaimanapun, Buddha pernah memberi beberapa kiasan yang terbukti benar dengan bertambahnya pengetahuan baru melalui bidang sains. Hal ini menunjukkan bahawa Buddha sedia maklum tentang sifat semulajadi alam semesta kita. Misalnya, Bhagava mengatakan bahawa dunia tidak dicipta di dalam sekelip mata dan bumi kita hanya merupakan sebahagian kecil sahaja di alam yang luas ini. Buddha juga mengatakan pembentukkan dan penghancuran sesuatu entity berlaku pada setiap masa dan bukanya disuatu kelak sahaja. Buddha juga menyatakan semua jasad sentiasa bergetar.

Astrologi pula merupakan satu bidang kajian yang sama sekali berlainan. Sejak bermulanya kewujudan, manusia amat tertarik dengan perkaitan antara dirinya dengan alam. Tamadun manusia mula berkembang daripada memburu kepada bercucuk tanam untuk makanannya. Sejak itu, manusia mendapati terdapat pertalian antara pengerakan matahari di dalam setahun dengan aktiviti penanaman, penuaian dan aktiviti-aktiviti lain yang berkaitan. Dengan perkembangan masa, manuisa menjadi lebih sofistikated. Manusia kini dapat meramalkan pengerakan matahari dan mencipta konsep masa, membahagikannya kepada tahun, bulan, hari, jam, minit serta saat.

Dengan pengetahuan ini, manusia berasa mungkin terdapat satu perhubungan di antara kitaran hidupnya dengan pergerakan planet. Dengan berkembangnya aliran pemikiran ini, konsep zodiak terbentuk. Zodiak merupakan jalan haluan matahari yang terbahagi kepada duabelas bahagian (buruj). Kajian tentang pergerakan matahari ini dan hubunganya dengan kehidupan seseorang individu dipanggil horoskop.

Bidang astrologi meliputi aspek pemahaman sifat manusia serta meramalkan pergerakan planet dengan tepat. Bidang ini juga merangkumi kebolehan untuk memahami dengan mendalamnya fenomena-fenomena yang tidak dapat dijelaskan oleh bidang sains. Sejak dahulu lagi, telah ada pakar-pakar astrologi. Malangnya, terdapat lebih ramai lagi penipu yang mengaku diri mereka sebagai ahli astrologi. Mereka menipu orang ramai dengan berpura-pura menilik masa depan mereka. Penipu seperti ini juga mengeksploitasikan kejahilan dan ketakutan mereka yang mudah diperdayakan untuk meragut wang mereka. Akibatnya, ahli sains mempersendakan bidang asrtologi dan tidak bergantung kepadanya. Bagaimanapun sikap dingin ahli sains terhadap bidang ini tidak berasas.

Tujuan utama menilik ialah supaya seseorang individu boleh memahami dirinya dengan lebih mendalam. Caranya tidak lain seperti gambar X-ray yang menunjukkan bentuk fizikal seseorang. Terdapat pertalian di antara kedudukan matahari di dalam bahagian zodiak tertentu (buruj) dengan kelahiran seseorang. Bukti daripada statistik menunjukkan bahawa beberapa orang yang mempunyai ciri-ciri luarbiasa dilahirkan didalam bulan-bulan yang tertentu. Sesetengah jenayah pula didapati berpadanan dengan bahagian zodiak (buruj) yang dilalui oleh matahari pada bulan-bulan yang tertentu. Pemahaman tentang bidang ini boleh menolong seseorang merancang hidupnya supaya lebih bermakna dan harmoni dengan ciri-ciri kecenderungan semulajadi.

Bayi yang baru lahir bagaikan benih. Bayi itu membawa bersamanya ciri-ciri yang menjadikannya serupa dengan orang lain namun tetap merupakan seorang individu tersendiri. Latihan dan bimbingan yang diterimanya akan menentukan cara dia menggunakan kebolehannya. Setiap orang dilahirkan dengan sifat semulajadi yang tersendiri. Dia sendiri yang akan menentukan cara dia menggunakan kebolehan dan bakatnya itu sama ada bagi kebaikan atau sebaliknya. Kita harus mengenali sifat semulajadi diri sendiri, misalnya kecenderungan menjadi malas, kecewa, runsing, dengki, kejam, mudah marah dan banyak tipu muslihat. Jika kita mempunyai sifat seperti ini, kita harus mengambil langkah positif untuk mengatasinya. Langkah pertama untuk mengatasi masalah ini ialah dengan mengenalpasti serta mengakui yang kita mempunyai sifat-sifat negatif ini.

Tafsiran astrologi dapat mengenalpasti kecenderungan semulajadi kita. Setelah mengetahui hal ini, kita harus mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk merancang kehidupan kita supaya menjadi manusia yang berguna. Seseorang yang cenderung melakukan jenayah juga boleh menjadi seorang yang mulia jika dia dapat mengenalpasti sifat semulajadinya dan mengambil langkah-langkah tertentu untuk menjadi seorang yang baik.

Kita memeta horoskop untuk menunjukkan benih kamma yang dibawa oleh seseorang sejak dia dilahirkan. Kamma menentukan masa dia dilahirkan. Seorang ahli astrologi yang pakar dapat meramalkan masa depan seseorang dengan tepatnya berdasarkan masa dia dilahirkan.

Bumi mengambil masa lebih kurang satu tahun untuk bergerak mengelilingi matahari. Pengerakan ini jika diperhatikan daripada bumi dapat menempatkan matahari di dalam beberapa kawasan zodiak sepanjang tahun. Seseorang dilahirkan (bukan secara tidak sengaja tetapi ditentukan oleh kammanya) apabila matahari berada di dalam salah satu daripada duabelas bahagian zodiak (buruj).

Dengan bantuan horoskop, kita boleh menentukan masa-masa tertentu di dalam hidup kita supaya lebih bergiat lagi dan pada masa-masa lain pula tidak terlalu membebankan diri. Pada masa-masa yang tertentu, kita juga harus lebih berhati-hati tentang kesihatan.

Persoalan yang sering ditanya ialah sama ada agama Buddha menerima ataupun menolak astrologi. Sebenarnya, Buddha tidak mengulas secara langsung tentang perkara ini. Bhagava telah beberapa kali menegaskan bahawa perkara seperti ini tidak dapat membantu ke arah perkembangan spiritual kita. Walau bagaimanapun, agama Buddha tidak mengecam secara langsung bidang astrologi seperti beberapa agama lain

Manusia bebas mengunakan pengetahunan ini supaya hidupnya lebih bermakna. Jika kita meneliti ajaran Buddha dengan mendalam, kita dapati bidang astrologi boleh digunakan untuk kebaikan kita. Sains moden sebenarnya selaras dengan ajaran Buddha. Hakikat ini bermakna terdapat satu pertalian langsung diantara hidup seseorang dengan cara kosmos ini berfungsi. Kita sedia maklum bahawa terdapat pertalian langsung di antara hidup manusia dengan perubahan alam semesta.

Misalnya terdapat satu pertalian yang rapat di antara pergerakan bulan dengan kelakuan kita. Fenomena ini boleh diperhatikan di kalangan mereka yang mengalami gangguan fikiran dan mereka yang cenderung kepada keganasan. Penyakit tertentu seperti asthma dan bronchitis menjadi lebih serius sewaktu bulan penuh. Oleh itu, tiada sebab bagi kita menolak kepercayaan bahawa planet lain boleh mempengaruhi kehidupan kita.

Agama Buddha mengakui bahawa terdapat satu tenaga kosmik kuat yang bergetar melalui setiap makhluk hidup termasuk tumbuh-tumbuhan. Tenaga ini berserta dengan tenaga kamma seseorang akan menentukan jalan hidupnya. Kelahiran seseorang bukan kewujudan hidupnya yang pertama. Kewujudanya merupakan sesuatu yang akan terus berlanjutan selagi dia tidak dapat mangatasi kammanya. Sesuatu makhluk hidup hanya akan wujud di dalam satu persekitaran baru jika beberapa faktor, khasnya faktor musim, faktor benih(germinal) dan faktor alam semulajadi dipenuhi. Faktor -faktor ini diambilkira berserta dengan tenaga mental dan tenaga kamma yang saling berinteraksi pada setiap masa di dalam mengubah hidup seseorang.

Mengikut ahli astrologi, waktu seseorang dilahirkan ditentukan oleh tenaga kosmik dan tenaga kamma. Kewujudan hidup bukan secara tidak sengaja. Akan tetapi kewujudan tersebut hasil interaksi di antara tenaga kamma seseorang dengan tenaga kosmik. Hidup manusia telah pun ditentukan oleh perbuatannya di hidup yang lalu dan tenaga yang mengaktifkan kosmos. Setelah kedua – dua tenaga ini diaktifkan, hidup dikawal oleh interaksi mereka walaupun pada saat kelahiran. Dengan itu seorang ahli astrologi yang mahir dapat menilik masa depan seseorang berdasarkan pemahamannya tentang pengaruh alam semesta dan kamma.

Hidup kita ditentukan oleh bentuk – bentuk tenaga yang disebutkan tadi. Akan tetapi Buddha telah menunjukkan jalan untuk membebaskan diri kita daripada pengaruhnya. Semua tenaga kamma tersimpan di dalam sub – sedar (subconsious) kita sebagai kecemaran minda dan kesucian minda. Kamma dapat menentukan masa depan seseorang. Oleh itu, melalui perkembangan minda, seseorang dapat membatalkan pengaruh negatif yang di sebabkan oleh kammanya yang lepas. Seseorang boleh membersihkan serta menyucikan mindanya dan dengan itu menyingkirkan semua tenaga kamma pada dirinya. Justeru itu, tumimbal lahir (kewujudan semula) tidak akan berlaku lagi.

Dengan tiadanya tumimbal lahir tidak terdapat benih kehidupan lagi. Dengan itu tiada kewujudan atau hidup pada masa akan datang untuk
diramalkan. Pada tahap perkembangan spiritual dan mental yang tinggi seperti ini, seseorang tidak memerlukan bantuan horoskop. Sebabnya ialah kebanyakan ketidakpuasan dan ketidak sempurnaan hidupnya telahpun disingkirkan.

Sejak awal abad ke – 20, ahli psikologi dan ahli kaji jiwa mendapati masih terdapat banyak lagi yang harus diselidiki tentang minda manusia. Seorang ahli psikologi yang terkenal dari Switzerland bernama Carl Jung banyak menggunakan bantuan horoskop untuk mengubati pesakitnya. Di dalam satu analisis astrologi tentang 500 pasangan yang telah berkahwin, beliau mendapati hasil kajian Ptolemy (astrologi moden di barat berasaskan kajiannya) masih boleh digunakan sehingga sekarang. Hasil kajian itu menunjukkan aspek – aspek yang menguntungkan di antara matahari dan bulan bagi pasangan – pasangan itu boleh mewujudkan satu perkahwinan yang bahagia.

Seorang ahli psikologi Peranchis yang terkenal bernama Michel Gauguelin pada mulanya mempunyai pandangan negatif terhadap bidang astrologi. Akan tetapi semasa beliau membuat satu kajian tentang 20,000 analisis horoskop, beliau kagum dengan hasil kajiannya. Beliau telah mendapati bahawa analisis horoskop itu menghuraikan ciri seseorang sama dengan cara psikologi moden.

Menanam sayur – sayuran dan pokok tertentu pada masa yang berlainan di dalam setahun akan menghasilkan perbezaan di dalam ketahanan serta ciri luaran tumbuhan tersebut. Oleh itu, tiada sebab bagi kita meragui kenyataan bahawa mereka yang lahir pada masa yang berlainan di dalam setahun akan mempunyai ciri- ciri yang berlainan.

Dengan mengetahui kelemahannya, seseorang boleh berusaha bersungguh – sungguh untuk mengatasi kelemahan itu supaya menjadi seorang anggota masyarakat yang lebih berguna. Hal ini dapat membantu seseorang mengatasi kekecewaan dan penderitaannya. Berhijrah ke negara lain juga dapat membantu mengurangkan pengaruh bintang – bintang ke atas seseorang.

Shakespeare mengatakan bahawa masalahnya bukan terletak pada bintang tetapi pada diri kita yang memandang rendah terhadap kemampuan diri sendiri. Seseorang ahli astrologi yang terkenal mengatakan bintang hanya memberi dorongan tetapi tidak menentukan tindakan yang sepatutnya dilakukan.

St. Thomas Aquinas mengatakan bahawa planet mempunyai pengaruh yang lebih kuat ke atas bahagian elemen manusia daripada perasaan manusia, tetapi dengan menggunakan kebijaksanaannya seseorang boleh mencorakkan hidupnya supaya hormoni dengan planet-planet. Manusia juga dapat mengasah serta menggunakan bakatnya yang terpendam untuk kemajuan diri.
Astrologi tidak dapat menelesaikan masalah kita secara automatik. Kita sendiri yang boleh berbuat demikian. Seperti seorang doktor yang hanya dapat memberitahu ciri sesuatu penyakit, begitu juga seorang astrologi pula hanya dapat menunjukkan aspek serta ciri tertentu hidup kita. Selepas itu, terpulang kepada kita untuk mengubahsuaikan cara hidup kita.

Sudah tentu usaha ini akan menjadi lebih mudah dan kita pula lebih bersedia setelah mengetahui apa akan kita hadapi kelak. Sesetengah orang terlalu bergantung kepada astrologi. Mereka berjumpa dengan ahli astrologi setiap kali sesuatu berlaku atau berkejar untuk mendapatkan penerangan tentang mimpi mereka.

Kita harus sedar bahawa bidang astrologi tidak sempurna dan memang mempunyai kekurangannya. Ahli astrologi yang terbaik juga mungkin boleh membuat ramalan yang salah. Gunakan bantuan bidang astrologi dengan bijaknya untuk membolehkan anda hidup dengan lebih bahagia. Berjaga-jaga terhadap ahi astrologi yang ingin memperdayakan anda. Mereka tidak akan memberitahu kebenaran tetapi hanya memberitahu perkara yang kita ingin dengar atau sedap di dengar.

Jangan mengharapkan nasib baik datang bergolek tanpa sebarang usaha. Sekiranya kita ingin menikmati hasil yang baik, kita harus berusaha dengan jalan yang betul. Ingat, peluang kebahagian sentiasa ada tetapi ia tidak akan datang begitu sahaja tanpa sebarang usaha. Kalau tidak dipecahkan ruyong, masakan dapat sagunya.

Diterjemahkan oleh : Rakan-rakan Se Dhamma Universiti Sains
Malaysia
Penyelaras : Hong Tai Fook
Penterjemah : Kong Sook Fong
K Don Premaseri
Penyunting : Yeoh Yong Cheng
Tan Hock Ming

_/\_ :lotus:
~ Kakek Guru : "Pikiran adalah Raja Kehidupan"... bahagia dan derita berasal dari Pikiran.
~ Mak Kebo (film BABE) : The Only way you'll find happiness is to accept that the way things are. Is the way things are

 

anything